Saturday, August 19, 2006
Suatu Malam di Negeriku..

         Malam itu, Taman Syahbandar bertukar suasana daripada hari-hari biasa. Gemerlapan cahaya lampu terang-benderang menerangi ruang lingkup kawasan sekitar pesisir kuala Sungai Terengganu. Berbondong-bondonglah sekalian manusia datang untuk menyaksikan acara gemilang. Kami datang lantaran menebal patriotisme dalam jiwa kami, kononnya itu ujar mereka.

         Di suatu tempat, sekumpulan anak muda bemotosikal, megah meluncur di jalanan, berpusu-pusu untuk turut sama merasai kemeriahan di sana. Paling bagus untuk mereka apabila dapat memboncengkan gadis-gadis genit yang muda bergetah. Tak sempat nak dipastikan sama ada sekadar kawan, teman wanita atau..? Emak ayah si gadis barangkali meredhai pemergian anaknya yang 'ustazah' itu keluar bersama 'ustaz' pada larut malam. Pergi 'berdakwah' agaknya. Tak apalaah..  Bawa anak kami elok-elok ya, pesan si ibu. Anaknya melesat terus dalam kegelapan, memaut erat batang tubuh 'ustaz' yang thiqah pada hemat mereka.... 

         Berbalik di Taman Syahbandar. suasana meriah bukan main. Pak-pak menteri pun turut kelihatan. Datuk Seri Utama Rais Yatim yang suatu ketika tidak senang duduk gara-gara cik 'Nani' dan 'Gubra', kembali ceria malam itu melancarkan Bulan Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan. Perahu berhias, kereta berhias, macam-macam lagi yang berhiasnya. Habis terlongo, terpegun setiap pasang mata di situ menjilat pemandangan pelbagai macam hiasan bergerak. Cantiknya. indahnya. Wah. Wah..

Kemudiaannya, agenda wajib bermula...

Faizal!! Faizal!! Faizal !!! Habis terkinja-terkinja, bertempik semacam teruja benar. Anak-anak muda yang bertempek-tempek, berhimpit, berpeluk, berkepit sendat di bawah pentas bertambah-tambah galaknya. Bahagia hidup dapat mereguk hiburan malam itu. Lagi-lagi bila Duta Belia, 'al-fadhil' Faizal Ramly cemerlang menghiburkan sekalian manusia yang membanjiri. Lazat...lazat... Hiburkan kami duhai duta kesayangan kami! Lagi, lagi dan lagi...

         Jalan raya terus meriah dengan bising bunyi menderam. Si anak muda terus memecut, mencelah, menyelinap, menggodek-godek, tambah lagi sedap jika ada kesempatan dapat brek mengejut. Tubuh si gadis pun akrab, tersorong ke depan. Malam kian galak dan miang.

         Larut tengah malam, setengah jam sudahnya,  bunga api bergemercikan di angkasa. Cantik. Warna-warni. Mereka yang masih setia dengan 'majlis ilmu' besar-besaran itu terdongak belaka sampai lenguh leher. Kata mereka, tak mengapalah.. biarlah lenguh pun, ni jarang boleh tengok. Acara berprestij, seluruh negara menontonnya. Turut serta di dalamnya adalah satu kemestian... Iyah...bertepuk sorailah manusia-manusia yang belum berganjak pada malam itu. Suasana terus hingar dalam pesta. Hingar tanpa tujuan. Tanpa apa-apa kesan kepada jiwa. Kesudahan sudah satu episod hedonisme di bumi negeriku ini...

         Jauh nun di seberang sana, turut sama berhimpun sekalian manusia. Suasana hampir sama. Hiruk-pikuk jalan raya tatkala sejumlah manusia. tetapi tidaklah terlawan jumlah diTaman Syahbandar.Berpusu-pusu ke sana, bezanya cuma lalu lintas tidak sesempurna mana. Hanya berbekalkan lampu picit dan jaket, sebilangan anak muda setia mengawal keadaan jalanan yang macet. Gerai-gerai di jalanan tambah menggiatkan kemeriahan di sana.

         Mereka yang datang, juga ingin berpesta. Tapi pestanya lain sedikit. Mereka, yang berjilbab, berketayap, berserban, menderaskan langkah kerana tidak mahu ketinggalan dalam agenda di situ. Tempat penuh sesak dan padat. Tapi yang ajnabi tidaklah duduk rapat-rapat, berlagak menjadi muhram macam di sana. Kerusi-kerusi pula tidak disediakan kepada pengunjung. Cukup sekadar surat khabar dan selipar mengalas punggung yang dliabuhkan di segenap ceruk padang.

         Acara bermula. Masing-masing terus terpaku. Mereka asyik dengan apa yang tertangkap dek telinga. Semuanya ralit menghayati bait-bait ucapan seorang itu. Beliau tidaklah sehebat 'al-fadhil' Faizal yang thiqah dinobat menjadi duta. Beliau ini hanya insan biasa. Sama seperti orang lain. Cuma, semua terus menerus mendengar butir-butir ayat yang terpacul lebat di bibirnya. Bezanya, nadanya bukan nada dondang sayang. Bukan juga nada lagu-lagu Sudirman. Nada beliau lantang, dan nadannya hanya satu; nada jihad. Terus mekar, mesra mendakap kalbu sang pencinta kebenaran yang membanjiri, lebih kurang puluhan ribu jugak lagaknya.

         Tak dinafikan, dia seorang insan biasa, tapi dia punya semangat yang luar biasa. Ruh dalam jiwanya cukup sarat semangat perjuangan, pekat nafas Islami. Nafas si mujahid. Itulah aset pada diri beliau yang menarik perhatian semua. Isu yang dinyatakan cukup membakar semangat. Cukup membina. Petah katanya, mantap hujahnya. Gesit terjungkit jiwa-jiwa yang datang meronta-ronta mengharapkan rahmat perjuangan yang dilaungkan itu tersebati. Tiada tembakan bunga api yang warna-warni seperti di sana. Hanya sesekali gema laungan takbir bersisa di angkasa....

         Acara berlanjutan.hingga usai tepat pada tengah malam...

Dua acara berbeda, dua rupa yang kontras. Dua acara berlainan suasana yang terhimpun dalam satu malam. Satu malam di negeriku...  


Posted at 06:47 am by sahabat_amin

 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Mohd Hazimin Harun





Arkib Blog



Laman Blog Baharu



-- Anda Pengunjung Ke --






rss feed