Friday, July 14, 2006
Realisasi Suatu Aspirasi

      Khabar dari JPN sedikit mengejutkan. Masakan tidak, sekian lama dirancang, berita itu tiba tanpa diduga. Agak tersentak juga sebaik telinga kami menangkap khabar dari Luqman Ahad lalu. MPP dibatalkan? 

      Luqman menyatakan bahawa kami perlu menunggu jawapan yang akan diputuskan oleh CIkgu Adnan. Memang ralat sebenarnya. Sedang rancak gerak kerja diatur, rupanya masih ada perkara yang tersangkak di pihak atasan. Menurutnya, Cikgu Adnan dan pihak pengurusan sedang berusaha untuk meneruskan perlaksanaan MPP. Kami menyepi. Menunggu, penuh harap.

Dengan izin Allah SWT. Selepas pelbagai aral yang melintang, yang menegak berjaya diatasi, akhirnya urusan kami dipermudahkan-Nya...

      Pagi Khamis 13 Julai, proses penamaan calon akhirnya berjalan dengan baik, tiada sebarang gangguan. Tahniah kepada barisan 'pegawai' Suruhanjaya Pilihan Raya yang bertungkus-lumus memastikan kelancaran agenda pertama ini sebelum menyusul kemuncak pilihan raya buat julung-julung kalinya di bumi wakafan SHAMS pada Rabu 19 Julai ini.

      Sekalung tahniah kepada Ketua Pemimpin Pelajar, Mohd Luqman Hakim kerana tidak mensia-siakan kepercayaan yang diberi oleh pihak pengurusan sekolah. Kepimpinan anda telah berupaya membawa suatu gagasan yang sekian lama dicanangkan ke suatu realiti yang dinantikan semua pelajar SHAMS selama ini.

      Tidak lupa juga kepada penyelaras Pilihan Raya SHAMS, Mohd Fauzan atas kesungguhan yang begitu tinggi dalam menyusun dan merangka gerak kerja ini sedari awal lagi. Kerahan masa dan tenaga yang dicurahkan selama ini berbaloi jua pabila melihatkan MPP yang dirancang akan direalisasikan.

      Semestinya membugar hati barisan pimpinan pelajar SHAMS yang lalu tatkala mendapat khabar ini. Cita-cita membentuk badan perwakilan pelajar bakal menjadi suatu kenyataan. Seingat-ingat saya, hampir lima tahun sudah usul ini dikemukakan. Halangan, kekangan dan rintangan yang pelbagai. Begitu sukar untuk menjayakan aspirasi tersebut. Namun, inisiatif yang berpanjangan akhirnya membuahkan kesudahan yang pastinya menguntum senyum mereka. Syukur ke hadrat Allah SWT...

      Kepada semua pelajar, mengundilah dengan bijaksana. Kepimpinan yang thiqah, bersahsiah tinggi dan berketrampilan mulia, jadikan sebagai pandu arah sebelum melaksanakan kewajipan anda. Harus diingat, modus operandi MPP adalah mahu menyuburkan kembali biah solehah di SHAMS yang kian luntur. Untuk melakukan anjakan tersebut, sudah tentu kepimpinan pelajar  yang menjadi teras utama perlu dimantapkan terlebih dahulu. Semoga usaha murni itu bertunjangkan niat yang tulus ikhlas. InsyaAllah.

Kepada semua pegawai SPR, bertugaslah dengan penuh hemah. Pastikan pilihan raya berjalan dengan telus dan saksama. Selamat mengundi


Posted at 07:07 am by sahabat_amin

 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Mohd Hazimin Harun





Arkib Blog



Laman Blog Baharu



-- Anda Pengunjung Ke --






rss feed