Thursday, July 06, 2006
Kerapu Ikan Merapu

   Syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT. Hingga saat saya dapat menulis di sini, dan di kala lensa anda mengamati butir-butir huruf ini, hayat kita masih dikandung badan. Ruh masih tetap bersatu dengan jasad. Akal masih waras bekerja dan nafsu kita masih berhubungan dengan diri. Tinggi tak tercecah, dalam tak berdasar, luas tak bertepi, lebar tak berhujung. Betapa tersangat besarnya rahmat dan nikmat Allah SWT kurniakan, tiada terbandingkan dengan apa jua sekali pun. Segala puji bagi-Mu ya Allah!

   Sekarang ini bulan Julai. Kemudian bulan Ogos, September, Oktober dan November. Empat bulan sahaja lagi baki masa yang ada. Pastinya teramat rugi kalau dibiarkan lompang tak berisi. Tapi harus diingat, Isinya biarlah ada mutu. Bukan sekadar tangkap muat. Asal nampak padat, sudah dikira OK. Asal cukup makan, sudah mampu menarik nafas lega. Kikislah sehabis-habisnya tabiat lama...

   Nah, tibanya ujian, tergopoh-gapah hendak khatamkan buku teks, kitab rujukan yang tebal-tebal tu. Fasal apa? Banyak yang sudah lupa, perlu diulang balik. Malam ujian, kantuk dilawan habis-habisan. Berpinar sudah kepala, tetap mahu layan buku nota yang bertaburan. Mamai pun mamailah, janji sampai ke noktah terakhir. Esoknya? Sangkutlah sana sini. Gelap gambar kata orang Teghanung. Kenapa tak keluar-keluar yang dibaca? Memang sudah ditentukan. Nasi yang sudah menjadi bubur terkadang memang kurang sedap....  

   Ingatan kepada diri sendiri. Goyang kaki biar berpada-pada. Main-main juga. Bergalak yuhayuha biar ada hadnya. Masa tak dirancang, ralat benar jadinya. Nak kejar itu ini. Padah nanti terpalit kembali kepada diri sendiri jua. Sudah-sudahlah bersungguh pada perkara yang tidak penting. Keutamaan terhadap tanggungjawab jangan lekang dalam niat di hati. Amanah menggunung di pundak usah dilupakan.

   Hening pagi yang sejuk menggigit, orang lain bersengkang mata menghadam nota rujukan, qiam, mengaji dan bermunajat mohon kejayaan. Diri kita? Barangkali masih enak bergomolan dengan bantal peluk lagi busuk. Mengeruh kuat di sebalik kelubung gebar yang tebal-tebal. Tambah pula di atas tilam empuk nyut nyut. Serasi benar untuk mencipta mimpi yang mengulit lena.

   Sebut tentang bersengkang mata, terus terlintas dalam benak satu benda. Bentuknya sempurna bulat. Malangnya disepak terajang. Bak kata Iklan TV, seluruh dunia bercakap tentangnya. Ada yang melompat sakan tak ingat dunia (akhirat lagi laaa..). Ada yang menangis guling-guling. Yang mabuk meroyan tak tentu fasal mengamuk pun ada. Malah, ada yang gila, mati katak disebabkannya. Semuanya kerana itu ; kerana BOLA. Hebat benar penangannya...

   Tak mengapalah. Sebulan berlalu. Demam sudah mula kebas. Baki perlawanan tinggal dua lagi. Empat pasukan, dua yang terus mara. Dua lagi pasukan mengubat lara bermain untuk penentuan tempat ketiga. Kesimpulan di sini, dua malam lagilah para pengikut setia akan menghidupkan malam kerananya. Harap-harap berterusan juga qiam untuk malam-malam seterusnya, tetapi tentunya untuk perkara yang lebih aula.

    

   Semoga dua pemain Muslim yang turun bermain Ahad ini, 'Zainudin Yazid' Zidane dan Frank Ribery beroleh tempo permainan yang baik untuk muncul juara Piala Dunia...Smile


Posted at 01:01 pm by sahabat_amin

khaleel
July 10, 2006   02:06 PM PDT
 
assalamualaikum, singgah sebentar...maaf sekadar pandangan...walau apa sekalipun, sewajarnya 'sifu' a.k.a general bola zidane tidak wajar bersikap sebegitu...! Namun, itulah bola sepak, tiada yg bole dijangka!
 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Mohd Hazimin Harun





Arkib Blog



Laman Blog Baharu



-- Anda Pengunjung Ke --






rss feed