Friday, April 07, 2006
Perikse itu mudoh...?

Kembali bersua di lembaran baru. Pertamanya, mohon ribuan kemaafan kepada sesiapa yang ada 'request' atau yang menghantar mesej tapi tak berbalas. Memang berkesempatan untuk online cuma tiada peluang untuk diri ini membalas mesej-mesej tersebut. Insya-Allah akan cuba berbuat demikian sedikit masa lagi.

           Exam selama dua minggu telah pun selesai ditempuhi. Barangkali saat sebegini cukup melegakan sebahagian sahabat seangkatan yang terpaksa menghadapi exam mendadak ini. Bolehlah untuk relaks seketika sebelum kembali bertungkus-lumus untuk ujian seterusnya. Seperti biasa, ada yang siap siaga sedari awal, ada juga sebaliknya. Ujian demi ujian tatkala menuju ke peperiksaan sebenar yang mendatang. Berjuang tetap berjuang....

              Namun, 'exam' kali ni serasa tidak boleh dikatakan sebagai satu ujian. Agak ralat sebenarnya apabila memikirkan exam yang baru sahaja berlalu. Ujian atau peperiksaan bertujuan untuk menguji tahap keupayaan pelajar dalam pelajaran, dan untuk mengenalpasti prestasi sebenar seseorang pelajar. Tetapi, bagaimana seandainya soalan peperiksaan sudah diketahui?

              Soalan yang bakal keluar dalam kertas exam bocor adalah sesuatu yang barangkali menjadi lumrah kini. Sehari sebelum peperiksaan, akan kedengaranlah pelbagai telahan dan ura-ura tentang soalan yang bakal keluar. Kemudian, akan tersebarlah soalan ramalan itu ke serata sekolah.

              Mungkin berpunca daripada segelintir guru yang bertindak sebagai penggubal soalan, atau guru yang curi-curi mengelih kertas soalan, sempat memberitahu atau 'terlepas cakap'  kepada pelajar tentang soalan yang bakal keluar. Ditambah pula khabar dari pusat-pusat tutorial di luar sekolah yang banyak menjadi sumber tajuk-tajuk atau soalan peruncingan yang bakal keluar, dan kebanyakannya benar dan tepat belaka.

               Tidak dinafikan, situasi sebegini sudah dianggap biasa dan mungkin tidak dikira suatu kesalahan. Alasannya, apa yang dikhabarkan bukanlah secara direct atau keluar bulat-bulat dalam kertas peperiksaan, hanya subtopik tertentu sahaja. Lagi, tidak semuanya betul-betul keluar, dan yang memberitahu adalah guru sendiri. Jadi, tidak mengapalah sekiranya sebegitu bagi mereka.

                Apapun, rasa terkilan tetap menebal apabila mengetahui gejala terbaru di sekolah bila menjelangnya sesuatu ujian atau peperiksaan. Gejala yang kian berleluasa dan begitu menular di kalangan pelajar. Soalan bocor - lebih tepat, kertas bocor - yang semakin mudah untuk mendapatkannya. Puncanya, tiada keseragaman dalam penjadualan peperiksaan di semua sekolah.

                Pelajar yang belum menduduki sesuatu kertas misalnya, akan cuba mendapatkan kertas itu daripada kenalan di sekolah lain. Manakala yang lain akan bertukar-tukar soalan yang mana belum diambil oleh pelajar sekolah lain. Kecanggihan telekomunikasi kini memudahkan lagi penyebaran soalan-soalan bocor kepada pelajar lain. Apabila beroleh kertas tersebut, masing-masing berpakat untuk berbincang tentang jawapan secara beramai-ramai. Lantaran itu, gembira di hati bukan kepalang tatkala menduduki kertas tersebut. Jawapan sudah dihafal. Ada yang sudah dibuat 'latih tubi' dengan kertas yang sudah ditatap. Tidak lagi termangu-mangu semasa ujian berlangsung. Sebaliknya, dengan senang-lenang menjawab malah sempat untuk membina 'peta' di meja!

                Memang ada juga sahabat yang turut memberi soalan spot saban hari sepanjang minggu exam. Dan diri ini sendiri turut sama menerima maklumat yang disebarkan. Mungkin, ramai yang berbuat demikian. Meskipun begitu, untuk membenarkan tindakan segelintir yang lain yang terang-terangan membawa masuk kertas soalan bocor adalah suatu yang tidak patut. Sukar untuk dimaafkan. Apa guna mengambil ujian kalau sudah dilihat soalan yang akan keluar? Cemerlanglah kalau begitu...

              Implikasinya mungkin baik jika dilihat dari segi keputusan ujian. Para guru semestinya tidak gusar apabila para pelajar meningkat prestasi berbanding dahulu. Namun, natijah yang tersirat sebenarnya lebih jelas. Semakin berkurangnya sifat jujur dalam diri pelajar. Malah, tindakan menipu diri sendiri itu seolah-olah menjadi kebanggaan bagi mereka. Terpulang pada diri masing-masing untuk menilai baik buruk tindakan tersebut. Namun, harus diingat akan peperiksaan sebenar yang bakal menjelang. Apa guna kita berbangga dengan pencapaian yang bukannya berpunca dari usaha dan ikhtiar diri kita yang sebenarnya. Paling penting, adakah tindakan sebegitu akan mendapat keredhaan di sisi Allah taala?

              Cukuplah setakat itu. Sebelum berundur, suka untuk mempromosikan satu buku yang baru sahaja dibeli sebulan lalu. Agak menarik pengisiannya, dan sangat sesuai kepada para pelajar...


Panduan Mencerdaskan Minda -  buku terbitan Telaga Biru. Tatkala membelek-belek buku ini, terperasan dengan ilustarasi atau gambar di dalamnya. Macam kenal je..hurm, patutlah. Akh Dhany dan sahabatnya bertindak sebagai jurugambar merangkap pelakon model untuk buku ini! Haha, menarik...

               Secara keseluruhannya, cukup bermanfaat isi di dalamnya dan sesuai untuk diamalkan. Kendatipun, memetik kata-kata akh Dhany, buku ini agak 'padat' dengan hadith dha'if (lemah) malah, ada di antaranya adalah hadith maudhu' (palsu). Jika anda berhajat untuk beli, boleh cuma pastikan anda membaca bersama (cross refer) dengan kitab Al-Maudhu'at karangan Ibnu Qayyim atau Himpunan Hadith Dha'if dan Maudhu' karangan Drs. Abdul Ghani Shamsuddin. Sekadar cadangan untuk jalan yang lebih selamat.

Salam Perjuangan..


Posted at 09:14 pm by sahabat_amin

 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Mohd Hazimin Harun





Arkib Blog



Laman Blog Baharu



-- Anda Pengunjung Ke --






rss feed