Thursday, January 26, 2006
Kudaku lari gagah berani ?

Seawal 8.00 pagi, kebanyakan pelajar masing-masing lengkap berpakaian sukan yang ditampal dengan kain bercalit tiga angka. Kesemuanya yang sudah pun bersiap sedia sedari awal diminta untuk berkumpul di dataran. Berbekalkan semangat dan stamina yang dijana dalam dua siri latihan lalu, kini hanya menunggu saat-saat untuk membuka langkah . Tiupan wisel oleh pengetua dinanti-nantikan penuh resah. Detik pelepasan sedikit mendebarkan. Langsung benak fikiran terbayang-bayang akan getir ujian seketika yang mesti ditempuhi. Berjuang habis-habisan, hanya itu perlu ditetapkan dalam cepu minda.

Prittt !!!

Katih dilebar seluas-luasnya. Tenaga dikerah ke segenap otot anggota badan. Kekuatan jiwa tidak dipinggirkan dengan semangat yang berkobar-kobar. Mengorak langkah deras ke hadapan. Beransur-ansur memacu sedikit demi sedikit pecutan larian. Ada ketika memperlahankannya dek keletihan yang membelenggu. Namun, berjuang biarlah berterusan santak ke garisan penamat. Mengaku kalah di pertengahan jalan adalah suatu yang merugikan diri. Dorongan sahabat seiringan memangkin daya untuk mara dan terus mara. Adakala pekikan sinis di pinggiran jalan terkadang sayup-sayup kedengaran serasa melemahkan diri. Pedulikan apa yang dikata, larian sejauh enam kilometer itu perlu dilangsaikan.

Akhirnya...

Lega. Puas. Tamat jua beban yang merasakkan seluruh tubuh. Menguntum senyum dalam lesu. Meski badan terasa letai teramat sangat, riak kepuasan terserlah di wajah. Gesit merebahkan badan menghumban kepenatan yang begitu menyesakkan. Diteguk air lagi, lagi dan lagi. Meski tiba tanpa kemenangan, itu bukanlah yang diharapkan kerana sedar untuk menggapai adalah sekelumit peluangnya. Yang utama, keperitan seketika ini berbaloi juga lantaran berjaya jua menamatkan larian dengan penuh kepuasan, penuh kesyukuran.

 

 

Kejohanan Merentas Desa Peringkat SHAMS 2006 yang diadakan serentak dengan beberapa buah sekolah berdekatan hari ini, berjaya diadakan dengan penuh semangat kesukanan dan setiakawan. Kesemua pasukan rumah, Usamah, Khaliq, Thoriq dan Saad, giat mempersiapkan ahli rumah masing-masing disertakan dengan sokongan padu sepanjang kejohanan. Apa yang pasti, perubahan mendadak yang begitu ketara telah dilakukan pada tahun ini iaitu penyertaan pelajar banat, telah memecah tradisi SHAMS yang sebelum ini merupakan satu kejohanan yang khusus untuk pelajar banin. Meski keadaan terkawal dan dilakukan pengasingan, tampak sedikit kejanggalan. Bayangkan, memakai tudung labuh sekolah dan berlari-larian di tepi jalanan. Pertanyaan rambang oleh guru pengacara majlis sebelum penyampaian hadiah jelas sekali menunjukkan kurangnya sokongan terhadap kelainan yang berlaku pada tahun ini di kalangan pelajar banat itu sendiri.

Tahniah. Mabruk 'alaikum. Khas kepada mereka yang berjaya menggondol pingat. Anda sememangnya layak untuk menang atas apa yang anda usahakan itu. Pasukan yang menyandang Juara Keseluruhan, tahniah juga untuk kalian. Juga untuk semua warga SHAMS yang bersungguh-sungguh menjayakan kejohanan ini. SHAMS berjaya membuktikan keupayaan melahirkan pelajar yang bukan sahaja ligat minda pelajaran, malahan pelajar yang cergas, lincah bersukan.

Salam 'alaik. 


Posted at 01:54 pm by sahabat_amin

sinarshams
February 1, 2006   12:24 PM PST
 
emm..best nyer merentas desa thun nie...tp tak best nyer perempuan pun kena berlari...hehe..dgn tudung labuhnya...ana ingat nak g jgak tolong cg2..masa hari merentas desa..tp ada keje skit..cg ajak dtg..surh tolong..nantilah..klu ada apa2 lg..ana pergi...shams..shams sentiasa dlm ingatan...ana n the geng dah gi shams 2 hari sblm merentas desa... tu cg ajak mai tue....

love shams forever
kak ain...


 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Mohd Hazimin Harun





Arkib Blog



Laman Blog Baharu



-- Anda Pengunjung Ke --






rss feed