Thursday, December 29, 2005
Karya Faisal Tehrani - Karya remaja mapan

Salam perjuangan dedikasi untuk sahabat sekalian..

Persekolahan akan bermula empat hari lagi. Sudah bersiap segala kelengkapan diri? Kelengkapan diri yang dimaksudkan tidak semestinya dari segi aset dan alatan, bahkan kelengkapan mental. Kesihatan akal fikiran. Adakah sudah bersedia untuk dijanakan semaksima mungkin?

     Sebetulnya tidak ada lagi yang baru tergopoh-gapah mencari buku itu ini, terangkak-rangkak mahu ulangkaji di saat bermula tahun baru yang mendatang. Peperiksaan awam besar yang bakal kita tempuhi memerlukan segenap kekuatan menyeluruh sedari awal. Justeru, ambillah langkah yang strategis ke arah memacu kejayaan yang diimpikan. Sekadar motivasi dan ingatan untuk diri sendiri jua...

     AlhamduLillah, kelapangan masa sehari dua ni tidak dibiarkan berlalu sahaja. Kesempatan mengunjungi 'rumah kedua' - memetik kata Cg. Tuan Sakinah - di SHAMS telah banyak menemukan diriku dengan buku-buku baharu yang dibekalkan melalui agihan Dana Khas. Kebanyakan buku didapati bolehlah dikatakan agak baik dan menarik.

       Terima kasih kepada cik Cupid kita atas maklumat hari tu[hehe]. Tidak pula diri ini sedar yang buku selama ini dicari-cari boleh kedapatan di Lib.. Akhirnya ketemukan jua novel terbaru Faisal Tehrani. Nak kata baru sangat tidaklah, tetapi released sekitar awal tahun ni. Dan syukur, dapatlah ditatap dua novel tersebut....

                       Advencer Si Peniup Ney            Detektif Indigo

Advencer Si Peniup Ney - Karya yang memenangi tempat pertama Anugerah Sastera Utusan 2004. Meskipun tidak terlalu tebal [sempat menghabiskannya dalam sehari], iaitu sekitar 240 halaman, tetapi gaya penulisan satira begitu menarik pembaca. Sarat dengan mafhum Al-Quran dan Hadith Nabi s.a.w. yang disesuaikan dengan jalan cerita menampakkan kekuatan penulis yang mencurahkan pengalaman dan ilmu yang sedia ada ke bentuk penglipuran kisah.

Detektif Indigo - menggondol tempat kedua Anugerah Sastera Utusan 2004. Kelainan dapat dikesan melalui karya ini. Cukup sesuai bagi mereka yang gemarkan genre penyiasatan dan perisikan yang digarap kemas dengan rujukan fakta serta diselitkan nilai Islamik. Masih dalam proses menghadam isi cerita novel ini.

Diriku bukanlah pengkaji sastera, jauh sekali sebagai pengkritik sastera. Sekadar penikmat sastera yang dahagakan karya yang memberi impak berguna pada jiwa. Dan pada karya Faisal Tehrani terasa kesan itu. Mengikuti jalan cerita novel-novel sebelum ini, menggambarkan FT begitu berkesan mengaplikasikan tarbiyah dan juga kembara iman beliau ke bentuk karya. Disesuaikan pula dengan jalan cerita yang membuatkan pembaca tidak akan berhenti meneruskan tatapan.

Bukannya ingin terlalu memberikan pujian, tetapi sekadar menyatakan kepuasan selepas membaca karya-karya beliau. Mungkin, ramai kurang menggemarinya. Kebanjiran novel-novel kejiwangan, cintan-cintun lebih menarik pembaca, khususnya di kalangan muda remaja. Bagi mereka, novel dengan genre sebegitu lebih kena dan serasi dengan naluri mereka [atau mungkin gelojak nafsu?]. You love me, I love You...[uhhuhu]. Seandai diketengahkan kepada mereka dengan novel-novel remaja berunsurkan ilmiah dan islamik, ditolak mentah-mentah. Kalau baca sekalipun, hanya bena tak bena menghadamnya.

Bukan marah. Bukan bengang. Bukan geram. Cuma kasihan. Sedih dengan situasi sebegitu. Diakui membaca novel terkadang dianggap asing dan jarang sekali bagi masyarakat, namun bilangannya masih ramai. Terkilannya, mereka hanya disogok pada karya-karya tema ringan, barangkali tidak mengajak pembaca bermain minda dan membuahkan fikrah. Cerita sekadar cerita. karya sekadar karya. Impak? Ilmu? Kosong barangkali. 

Penulis muda yang semakin menghampiri takah penulis mapan, Faisal Tehrani pernah berkata dalam satu wawancara majalah Fokus,[lebih kurang ..] 'sastera hanya bagi penggemar dan pencinta sastera. Bagi mereka yang bukan, tidak perlu dipaksa-paksa agar menghayati seni sastera.' Ada benarnya. Cuma, bilakah akan bermula anjakan minda dari mutu bahan bacaan ringan kepada skop yang lebih ilmi dan membangkit jiwa yang murni? Perlukah dibiarkan sahaja lambakan karya bermutu tanpa sebarang kesan pada masyarakat?

Skema... heh, barangkali adanya andaian itu oleh sahabat-sahabat yang membaca tulisan ini. Ketahuilah, penulisan adalah satu method perjuangan. Bahan yang dibaca perlulah bahan disulami informasi, mendorong diri berfikiran kritis dan terselit mesej berguna. Apa yang dinyatakan di sini bukan untuk berhelah madah, berpura-pura, tetapi mahu mengajak sahabat menjengah seketika pada bahan bacaan yang mantap pengisiannya. 

Tiada apa yang ingin diseru, cuma ingin mengajak para sahabat, cubalah bawa diri untuk menatap dan menyusuri karya-karya yang bermutu. Jika tidak novel, cerpen sudah memadai. Buka minda dengan karya sebegini. Perkembangkan kosa kata dan pengetahuan yang ada. Akhir kalam, martabatkan penulisan dan karya remaja bermutu ke arah merealisasikan ummah belia berjiwa besar dan berakhlak.

Salaam.


Posted at 07:52 am by sahabat_amin

 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Mohd Hazimin Harun





Arkib Blog



Laman Blog Baharu



-- Anda Pengunjung Ke --






rss feed